:: Subhanallah ::
Subhanallah dari segi bahasa bermaksud Maha Suci Allah. Huraiannya ialah kita meyakini bahawa Allah itu Maha Bersih dan Maha Suci. Allah tidak melakukan kesilapan dan segala tindakanNya sentiasa betul. Saya bagi contoh. Di dalam dunia ini, ada manusia yang Allah pilih untuk beri hidayah dan ada manusia yang Allah pilih untuk tidak memberi hidayah. Ketahuilah bahwa Allah SWT itu langsung tidak memilih kasih. Sesiapa yang diberikan hidayah oleh Allah memang layak menerima hidayah itu berdasarkan usaha dan takdirnya manakala sesiapa yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT, dia memang tidak layak menerima hidayah tersebut berdasarkan usaha dan takdirnya juga.
Allah SWT langsung tidak serupa dengan manusia yang suka pilih kasih apabila memberi sesuatu. Contohnya bos yang asyik pilih kasih apabila memberi markah cemerlang dan pangkat walaupun mungkin ada orang lain yang sama/lebih layak untuk menerima markah cemerlang dan pangkat tersebut. Contoh yang lain apabila seseorang lelaki itu berkahwin empat. Adalah mustahil untuk dia menyintai keempat-empat isterinya dengan sama rata. Soal hati itu tidak dikira berdosa kerana itu sifat semulajadi manusia. Yang penting dia mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dengan memberikan hak mereka seperti nafkah zahir dan batin, giliran yang bersesuaian dsb.
:: Alhamdulillah ::
Alhamdulillah dari segi bahasa bermaksud segala puji itu hanya untuk Allah. Dari segi huraian maksudnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Apabila ada orang yang memuji kita samaada hebat, hensem atau kaya, kembalikanlah pujian tersebut kepada Allah dengan mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah kita merasa hebat dengan apa yang kita miliki samaada ilmu, pangkat, harta dsb kerana semuanya adalah kurniaan dari Allah. Ada orang yang merasa dia hebat kerana berjaya menjawat pangkat yang tinggi dalam syarikat. Siapakah yang telah memberikannya otak dan kepandaian sehingga dia layak menjawat jawatan tersebut? jawapannya ialah Allah. Sebenarnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah. Di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah apakah yang telah kita buat dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Ucapkanlah Alhamdulillah juga untuk bersyukur terhadap segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.
Ucapan ALHAMDULILLAH yang diucap dengan ikhlas
nescaya akan dibalas dengan Rahmat dariNya
dan sesiapa yang diberi Rahmat olehNya
Insya Allah akan bertambah nikmatnya
:: Lailahaillallah ::
Maksud Lailahaillah ialah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dari segi huraian maksudnya kita hanya patut menyembah Allah semata-mata dan bukannya benda-benda lain di dunia ini. Kalau zaman dulu, masyarakat jahiliah menyembah berhala. Tapi zaman sekarang ini ada manusia yang bertuhankan benda seperti wang, wanita, pangkat, manusia dsb. Maksud bertuhankan benda ini ialah sanggup melakukan apa sahaja tidak kira halal atau haram untuk mendapatkan benda tersebut. Wang, wanita, pangkat dan lain-lain tidak salah untuk dimiliki tetapi perlu dimiliki dengan cara halal seperti bekerja, berkahwin dan jujur. Bukan dengan cara haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berzina dsb. Ada orang yang sanggup bekerja dengan kuat tanpa menghiraukan solat 5 waktu kepada Allah SWT. Bukankah seolah-oleh dia telah bertuhankan wang dengan mengabaikan Allah SWT? Bukankah dia seolah-olah telah syirik kepada Allah SWT? berhati-hatilah dengan syirik kerana syirik termasuk dalam dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan bertaubat Nasuha iaitu taubat yang bersungguh-sungguh dan tidak mengulangi lagi dosa tersebut.
:: Allahu Akbar ::
Dari segi bahasa Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar. Huraian bagi maksud Allahu Akbar ialah Allah itu Maha Besar dan Hebat. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dia kehendaki dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan segala tindakanNya itu. Tiada siapapun yang layak menyoal Allah tentang segala tindakan dan keputusanNya bahkan makhluklah yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang mereka kerjakan.
Allah berfirman: Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. (Al-Anbiya' 21:23)
Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas. Sekiranya dibuat perbandingan ilmu Allah dengan ilmu makhluk itu, ilmu Allah itu seumpama satu lautan yang luas sedangkan ilmu makhluk itu seumpama setitis air dari lautan tersebut, bahkan lebih sedikit dari itu. Jadi layakkah kita mempertikaikan keputusan Allah terhadap kita dengan ilmu kita yang sedikit ini? Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali membesarkan benda lain selain dari Allah SWT. Kesemua kita adalah hamba Allah yang tertakluk kepada hukum syariat yang telah ditetapkanNya. kita mestilah mengikut segala hukum syariat Allah untuk membesar dan mengagungkanNya.
Moga BBM zikir yang ringkas ini dapat memberi manfaat kepada tuan/puan. Terima kasih.
Sumber rujukan:
http://lautan-biru.blogspot.com/2011/09/maksud-subhanallah-alhamdulillah.html